Lebih baik berkolaborasi untuk menang

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Lebih baik berkolaborasi untuk menang pihan raya berbanding kalah secara solo, daripada kalah menjadi pembangkang, lebih baik menang bersama sebagai kerajaan, kata Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata, keputusan untuk berkolaborasi tidak mengikat BN dengan mana-mana pihak secara eksklusif.

“Dalam pilihan raya, kita perlu mencari peluang untuk menang. Strategi mesti untuk menang. Pengajaran dari 2022, saya tak fikir pergi secara solo itu baik. Kita perlu pergi secara bersefahaman bersama,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mempunyai alasan kukuh apabila mengambil pendirian untuk tidak bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bercakap kepada media di Hotel Sri Pacific, beliau berkata, pendirian itu diambil bagi mengelak pertindihan kerusi antara parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Kini kita menjadi salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Oleh sebab itu, bagi mengelak pertindihan kerusi umpamanya dan mengelak jentera bertembung pada kerusi yang dipertandingkan,” kata Ahmad Zahid.

Mengenai pembahagian kerusi, Saarani berkata, sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan persefahaman dan analisis terhadap sejarah pilihan raya lalu serta penilaian setiap kerusi berdasarkan potensi dan undi yang diperoleh pada 2022.

“Jika mengambil kira kedudukan dominan BN berdasarkan undi yang diperoleh pada 2022, maka kerusi itu patut diberikan kepada BN. Saya yakin itu boleh dilakukan,” kata Saarani.

Dalam pada itu, Saarani mempertikaikan kritikan yang dilemparkan kepada UMNO mengenai kerjasama dengan DAP sedangkan kerjasama serupa pernah berlaku sebelum ini – yang beliau gelar sebagai “PasDAP” dan “BersaDAP.”

Beliau menarik perhatian, pada 2008, Pas memilih bergabung dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan negeri Perak, walaupun terdapat usaha untuk membentuk kerajaan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Budak muda sekarang, kalau umur dia 18 tahun, dia tak tahu cerita ini. Orang dulu tahu ada PasDAP. Itu sejarah.

“Yang keduanya, BersaDAP. Ia berlaku pada tahun 2018, apabila Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan kerajaan Persekutuan dengan hanya 13 kerusi Bersatu, 11 kerusi Parti Amanah Negara (Amanah), bersama 42 kerusi DAP dan 47 kerusi PKR.

“Mahathir jadi Perdana Menteri dengan BersaDAP,” katanya.

Justeru, Saarani berkata, kerjasama UMNO dan DAP patut diberikan peluang, memandangkan kerjasama antara Pas dan Bersatu dengan DAP sebelum ini telah diterima.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan negeri Perak yang terdiri daripada UMNO dan DAP berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar, walaupun terdapat perbezaan pendapat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment