KUALA LUMPUR 19 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menjelaskan fakta-fakta berkaitan ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu percaya kenyataannya tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain memaklumkan pihaknya akan memanggil Muhyiddin pada 20 Ogos (esok) bagi memberi keterangan dan membantu siasatan sedang dilakukan pihak polis.
Katanya, sejumlah 29 laporan diterima polis daripada pelbagai pihak berkait ucapan Muhyiddin yang didawak menyentuh isu 3R ketika berkempen di Nenggiri.
Hari ini Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Nnnn
