GENEVA: Jenayah kemanusiaan dan perang yang dilakukan tentera Myanmar ‘meningkat pada kadar yang membimbangkan’, demikian menurut penyiasat
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) PBB, berkata, jenayah kemanusiaan itu merangkumi penyeksaan sistematik, jenayah rogol secara berkumpulan dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Menurut IIMM PBB, dalam tempoh enam bulan lalu, lebih tiga juta orang dianggarkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan konflik semakin memuncak di negara itu.
IIMM juga sudah mengumpul bukti kukuh yang menunjukkan tahap kekejaman dan kezaliman yang mengerikan di mana banyak jenayah dilakukan dengan niat untuk menghukum dan menimbulkan keganasan dalam kalangan orang awam.
Dalam laporan tahunannya bagi tempoh 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2024, IIMM berkata, konflik di Myanmar meningkat dengan ketara pada ketika itu dengan laporan jenayah yang lebih kerap dan kejam dilakukan di seluruh negara.
Di samping itu, kumpulan penyiasat juga memetik kecacatan fizikal terhadap tahanan termasuk pemenggalan kepala dan paparan awam mayat yang cacat dan dicacatkan secara seksual.
Kumpulan penyiasat itu sedang mengkaji pemenjaraan yang menyalahi undang-undang, termasuk penahanan sewenang-wenangnya dan ‘perbicaraan yang jelas tidak adil’ terhadap pihak yang dianggap penentang junta tentera.
Nnnn
