LONDON – United Kingdom mengumumkan penggantungan rasmi rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Israel, susulan serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Setiausaha Luar, David Lammy menggambarkan kempen ketenteraan Israel yang berterusan sebagai “berbahaya, menjijikkan dan kejam.” dan menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai “keji” .
Bercakap di Dewan Rakyat, beliau memberi amaran bahawa dasar Israel untuk hanya membenarkan “jumlah makanan minimum bagi mengelak kebuluran” ke Gaza adalah satu strategi kelaparan yang disengajakan.
“Perdana Menteri Netanyahu menyatakan mereka akan mengawal Semenanjung Gaza dan hanya membenarkan jumlah makanan minimum. Puan Timbalan Speaker, saya petik kata-kata Netanyahu: ‘hanya cukup untuk mengelak kebuluran’,” kata Lammy kepada Ahli Parlimen.
Katanya, ia tidak dapat diterima dari segi moral. Ia tidak seimbang. Ia benar-benar, benar-benar tidak produktif.
“Adalah mustahil untuk meneruskan rundingan perjanjian FTA baharu dengan kerajaan Netanyahu yang meneruskan dasar yang melampau di Tebing Barat dan Gaza,” kata Lammy.
Lammy turut memberi amaran bahawa taktik ketenteraan Israel tidak akan dapat menewaskan Hamas, tetapi hanya akan “meninggalkan generasi anak yatim dan trauma – sasaran mudah untuk direkrut Hamas.”
Beliau berkata, Britain secara konsisten mendesak Israel untuk “mengubah haluan” sejak serangan ke atas Gaza disambung semula.
“Kami telah nyatakan dengan jelas bahawa tindakan Israel tidak boleh diterima,” katanya.
“Kami menggesa kerajaan Netanyahu… sejarah akan menghakimi kamu – menghalang bantuan, meluaskan peperangan. Ini tidak dapat dipertahankan, dan mesti dihentikan. Perdana Menteri Netanyahu, tamatkan sekatan ini sekarang,” tegas beliau.
Lammy turut mengumumkan sekatan baharu ke atas tiga peneroka Israel, termasuk aktivis terkenal Daniella Weiss, dua pos haram dan dua kumpulan yang dituduh menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.
Sekatan itu merangkumi larangan perjalanan dan pembekuan aset. Ia dibuat susulan lonjakan serangan oleh peneroka – lebih 1,800 serangan sejak Januari, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan UK juga secara rasmi menggantung rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Israel.
Beliau turut mengulangi gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan semua tebusan dibebaskan tanpa syarat oleh Hamas.
Nnn
