Buruan emas Olimpik berakhir

SEPANG 11 Ogos – Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang hampir membawa pulang pingat terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam pada final keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Shah Firdaus mengalami nasib malang apabila beliau yang suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa pada pusingan terakhir dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkannya terjatuh.

Beliau yang tidak dapat menamatkan perlumbaan diturunkan untuk berada di kedudukan keenam pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yveline itu.

Manakala Nakano dan pelumba Great Britain, Jack Carlin yang turut terbabit dengan pelanggaran diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).

Perlumbaan final itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen untuk merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.

Pingat perak menjadi milik pelumba Australia Matthew Richardson manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.

Keputusan itu menyaksikan misi Malaysia untuk menamatkan penantian meraih emas sulung Olimpik tidak kesampaian dengan Shah Firdaus menjadi wakil terakhir negara diletakkan sandaran untuk merealisasikannya pada temasya di Paris.

Related posts

Leave a Comment