GUA MUSANG 11 Ogos – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Riswadi Ismail mengumumkan manifesto KHIDMAT yang mengandungi 37 tawaran kepada penduduk kawasan itu.
Berucap semasa Tawaran PN untuk PRK Nenggiri di Renok, di sini, hari ini, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, tawaran itu meliputi tujuh bidang fokus iaitu peneroka, Orang Asli, anak muda, warga emas, kampung tradisi dan usahawan.
Huruf K membawa kepada maksud khidmat masyarakat, H merujuk kepada hak rakyat, I (integriti dan amanah), D (daya ekonomi), M (masyarakat berilmu dan infrastruktur), M, (masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera), A (anak muda berpendidikan dan berkemahiran), dan T (transformasi digital luar bandar).
Beliau berkata, untuk peneroka, tiga tawaran dikemuka iaitu mempercepat pemberian hak milik tanah lot kediaman dan kebun kepada peneroka KESEDAR, selain membantu mempercepat pemberian hak milik tanah tapak kediaman untuk 580 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rantau Manis.
Selain itu katanya, memperjuang pemberian hak milik tanah lot kediaman untuk generasi kedua Rancangan Kemajuan Tanah dan Rancangan Pemulihan Tanah.
Lima tawaran dikemukakan untuk Orang Asli, iaitu melantik Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat dalam kalangan Orang Asli, memperkasa peranan penghulu, menaik-taraf jalan ke kampung Orang Asli, penubuhan Pasukan Khas Pendidikan Orang Asli Nenggiri serta kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli(JAKOA) untuk menjaga kebajikan masyarakat itu.
Untuk kampung tradisi beliau menawarkan untuk menyelesaikan isu tanah penduduk yang bertindih dengan hutan simpan kekal, menyediakan 20 lot tapak rumah kediaman bagi pemindahan penduduk, mengusahakan naik-taraf jalan dan membantu memperluas sistem bekalan air tandak.
Bagi golongan muda, antara tawarannya menaik-taraf infrastruktur sukan, menyelaras bantuan kemasukan asrama, universiti dan pencarian kerja untuk anak muda Nenggiri serta menyediakan kelas celik digital.
Di samping itu, tawaran untuk wanita pula ialah penyediaan bantuan untuk ibu tunggal, usahawan, wanita, suri rumah, insentif penubuhan taska di tempat kerja dan bantuan cakna pekerja wanita, penyediaan kursus untuk meningkatkan kemahiran digital serta membantu usahawan wanita.
Warga emas juga tidak dilupakan dengan, tawaran kepada mereka ialah menjamin kesejahteraan warga emas melalui program bantuan dan kebajikan seperti Skim Khairat Kifaalah dan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi memperluas dan memperkasa pusta aktiviti warga emas.
Manakala tawaran turut diberikan kepada golongan usahawan dan keseluruhan penduduk Nenggiri termasuk peluang pekerjaan dan keusahawanan terutama bagi anak muda.
