Elak ke Bangladesh, lapor ke kedutaan

PUTRAJAYA 7 Ogos – Kementerian Luar hari ini menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan semua perjalanan ke Bangladesh susulan situasi negara itu yang masih belum stabil.

Bagi warganegara Malaysia yang berada di Bangladesh, mereka dinasihatkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, dan sentiasa berwaspada.

Mereka juga dinasihatkan mengelak daripada berada di kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar berkata, ia sedang memantau rapi keadaan di Bangladesh menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka serta mengambil maklum pembentukan kerajaan interim bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat berfungsi seperti biasa.

Sekiranya berlaku kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka di alamat House No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka– 1212, atau di talian +880241081892 / 1895 dan +88 018 4179 8077 (untuk kecemasan sahaja) atau e-mel di mwdhaka@kln.gov.my.

Sementara itu, tiada rakyat Malaysia terbabit dalam protes yang sedang berlaku di United Kingdom (UK) dan Kementerian sedang giat memantau keadaan di UK menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana..

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam protes yang sedang berlangsung.

Walaupun situasi sedang diperhatikan dengan teliti, semua rakyat Malaysia di UK disarankan untuk menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada dan mengikuti kemas kini serta panduan terkini yang diberikan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar juga menasihatkan rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk berbuat demikian, bagi memastikan mereka dapat dihubungi dan dibantu dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Ini juga akan membolehkan Suruhanjaya Tinggi memberikan kemas kini dan sokongan yang diperlukan tepat pada masanya,” katanya.

Menurut Kementerian Luar, rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London perlu memberikan butiran jika mereka melawat UK dalam tempoh singkat (kurang daripada sebulan), menetap atau melawat UK lebih daripada sebulan atau pelajar Malaysia di UK.

Bagi rakyat Malaysia yang melawat UK dalam tempoh singkat (kurang daripada sebulan) mereka disarankan menghantar e-mel ke lonmalaysian@kln.gov.my.

Subjek e-mel harus menyertakan hari terakhir pelawat di UK diikuti dengan nama dalam format TTTTBBHH NAMA (contohnya, 20240805 ABU BIN ALI jika hari terakhir adalah 5 Ogos 2024 dan nama adalah Abu bin Ali).

Menurut kenyataan itu, e-mel harus menyertakan nama ahli keluarga yang turut serta, nombor kad pengenalan, nombor pasport, alamat di UK, nombor telefon, dan tempoh penginapan di UK. Nama, nombor telefon, dan hubungan dengan waris juga harus disertakan.

Katanya, mereka yang menetap atau melawat UK lebih daripada sebulan perlu mendaftar kehadiran mereka di UK melalui e-Konsular kementerian melalui laman sesawang atau mudah alih di https://ekonsular.kln.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih ekonsular Malaysia yang boleh dimuat turun untuk mendaftar.

Related posts

Leave a Comment