Hadiah bernilai RM1 juta di MSAM 2024

SHAH ALAM 7 Ogos –  Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 menawarkan hadiah bernilai kira-kira RM1 juta kepada para pengunjung karnival literasi kewangan itu di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini mulai 22 hingga 25 Ogos ini.

Hadiah utama yang bakal menjadi tumpuan ialah pangsapuri servis di Serasi Residences, Putra Heights, sebuah kenderaan elektrik (EV) BYD Dolphin Standard. serta Perodua Ativa 1.0L Turbo AV dan Perodua Axia 1.0L AV

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Arshad Raja Tun Uda, berkata karnival tahunan itu menjadi sebahagian daripada komitmen yang tidak berbelah bahagi PNB kepada pemegang unit dan negara sejak 23 tahun lalu.

Katanya, tahun ini, MSAM membawa tema ‘Uplift your life at MSAM’ atau ‘Kukuhkan hidup anda di MSAM’, sejajar dengan matlamat PNB yang diperbaharui, untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

“Meneruskan inisiatif kami dari tahun sebelumnya, elemen pendidikan kewangan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan menjadi tumpuan kami dalam memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu dan pendidikan tinggi.

Penganjuran MSAM saban tahun telah berjaya direalisasikan dengan pembabitan dan sokongan padu syarikat-syarikat pelaburan PNB sebagai Rakan Korporat MSAM.

“Peranan setiap syarikat adalah sangat penting dan sangat dihargai dalam memastikan penganjuran yang lancar dan tersusun untuk mencapai objektifnya,” katanya ketika berucap pada majlis jalinan rakan korporat MSAM 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Abdul Rahman Ahmad.

Pada majlis itu, PNB mengumumkan rakan korporat bagi penganjuran acara berkenaan iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), SD Guthrie Bhd, Sime Darby Bhd dan S P Setia Bhd

Selain itu, ia turut membabitkan kerjasama Sime Darby Property Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), MNRB Holdings Bhd, Duopharma Biotech Bhd dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

Tahun ini, MSAM membawakan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan membabitkan pengunjung bagi menarik penyertaan dari semua lapisan masyarakat.

Selain daripada aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik tahun ini termasuk aktiviti pelengkap seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri akan mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan yang menarik pada MSAM 2024.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment