DHAKA: Pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus dicadangkan mengetuai kerajaan sementara, sehari selepas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina digulingkan dan tentera mengambil alih kuasa.
Cadangan itu dikemukakan oleh penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar Bangladesh yang diketuai pemimpin utama Mahasiswa Menentang Diskriminasi (SAD), Nahid Islam.
“Kami memutuskan kerajaan sementara akan dibentuk di mana pemenang Hadiah Nobel terkenal di peringkat antarabangsa Dr Mohammad Yunus, yang diterima secara meluas, akan menjadi ketua penasihat,” kata Nahid dalam satu mesej video.
Semalam, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman menerusi siaran di televisyen negara berkata Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri dan tentera akan membentuk kerajaan sementara.
Yunus, 84, seorang ahli ekonomi yang dihormati kerana membebaskan jutaan penduduk daripada kemiskinan menerusi bank kewangan mikro perintisnya tetapi tidak ‘sebulu’ dengan Hasina yang menuduhnya “menghisap darah” golongan miskin.
Yunus kini berada di Eropah dan seorang pembantu rapat berkata beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada tentera untuk memimpin kerajaan sementara.
Sementara itu, Sheikh Hasina 76 yang melarikan diri dari negaranya dijangka tinggal di India sehingga Britain memberinya suaka.
