ADUN Rembia perlu tanggung ganti rugi

KUALA LUMPUR 19 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis perlu menanggung kos ganti rugi ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka susulan pengisytiharannya menyertai Pas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata tindakan itu sama seperti termaktub dalam aku janji ditandatangani calon BN ketika itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Muhammad Jailani, namun menjelaskan jumlah itu terkandung dalam aku janji dan sepatutnya semua wakil rakyat tahu mengenainya.

“Dari sudut parti, YB Rembia akan memberi implikasi susulan aku janji yang ditandatangani ketika bersetuju untuk menjadi calon BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-15 yang lalu.

Beliau perlu menanggung segala kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah kos yang diambil kira munasabah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan mengumumkan mengenai penyertaan Muhammad Jailani dalam Pas sejak Jun lalu.

Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Muhamad Jailani sebelum ini menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka itu berkata, pihaknya juga akan mengusulkan mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

“Perkara ini akan diteliti dari dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan parti sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dan kerajaan negeri sebagai ADUN Melaka sebelum memuktamadkan sebarang tindakan susulan.

“Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat oleh YB Rembia termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai Pas pada Jun tahun lalu.

“Ini termasuklah melakukan semakan sama ada tindakan Muhammad Jailani menyertai Pas terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada sidang DUN Melaka 31 Julai tahun lalu,” katanya.

Ditanya  sama ada kerusi berkenaan perlu dikosongkan, Ab Rauf berkata perkara itu akan diserahkan kepada Speaker DUN.


Nnn

Related posts

Leave a Comment