Kadar inflasi 2 hingga 3.5 peratus

KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan mengunjurkan kadar inflasi bagi tahun ini berada antara dua hingga 3.5 peratus dengan pelaksanaan penyasaran rasionalisasi subsidi bahan api diesel, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata julat unjuran yang besar itu mengambil kira beberapa kemungkinan kenaikan kadar inflasi yang boleh timbul antaranya seperti pelaksanaan penyasaran rasionalisasi subsidi bahan api ini.

Kerajaan berpandangan sekarang adalah tempoh yang sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar, dengan mengambil kira angka inflasi yang rendah pada ketika ini.

“Kadar inflasi negara bagi Januari hingga Mei lalu mencatat peningkatan yang sederhana sebanyak 1.8 peratus berbanding 3.4 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara kadar inflasi bagi bulan Mei lalu pula kekal rendah pada dua peratus. Sebagai perbandingan, inflasi bagi Zon Euro meningkat kepada 2.6 peratus, Amerika Syarikat (3.3 peratus), Republik Korea (2.7 peratus), Filipina (3.9 peratus) dan Indonesia (2.8 peratus) bagi tempoh sama.

“Dengan mengambil kira angka inflasi yang rendah pada ketika ini, kerajaan berpandangan ini adalah tempoh yang sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta menteri kewangan menyatakan sejauh mana jaminan kerajaan terhadap kenaikan harga barangan.

Ahmad Amzah juga ingin tahu bebanan yang bakal ditanggung golongan B40 dan M40 akibat pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan ke manakah hasil penjimatan daripada rasionalisasi ini akan digunakan.

Menurut Menteri Kewangan, walaupun harga diesel kini ditetapkan RM3.35 seliter, kerajaan masih menyediakan diesel bersubsidi kepada nelayan dan 33 jenis kenderaan pengangkutan awam serta barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk memastikan kos barangan dan perkhidmatan kekal terkawal.

Bagi melindungi kebajikan majoriti rakyat dan mengatasi isu penyeludupan serta ketirisan subsidi, kerajaan memperkenalkan platform BUDI MADANI bagi menyalurkan subsidi diesel yang lebih tepat kepada sektor yang layak, golongan masyarakat yang memerlukan, dan lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

Di bawah inisiatif BUDI MADANI, pemilik kenderaan jenis diesel merangkumi kenderaan pengangkutan awam darat, pengangkutan darat barangan, kenderaan persendirian milik individu dan golongan petani.

Ia juga dinikmati penternak serta pekebun kecil komoditi di Semenanjung yang boleh terus menikmati subsidi diesel melalui kaedah fleet card di bawah MySubsidi Diesel atau bantuan tunai sebanyak RM200 di bawah BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Kerajaan juga berhasrat untuk mengembalikan penjimatan daripada langkah penyasaran semula subsidi bahan api ini kepada rakyat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi mengoptimumkan sumber kewangan negara.

Ia terutama melalui sektor pendidikan,kesihatan, pengangkutan awam dan keperluan pembangunan lain selain memperkukuhkan agenda perlindungan sosial.

Antaranya, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion pada tahun 2024. Ini adalah langkah utama yang diambil kerajaan untuk mengelakkan program penyasaran subsidi diesel ini memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

Selain itu, kerajaan juga memulakan program ini pada masa yang sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara ketika keadaan ekonomi masih mampan, termasuk indikator inflasi bagi harga barangan dan perkhidmatan pengguna yang stabil.

Nn

Related posts

Leave a Comment