ARAU 11 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah adalah tidak wajar berlakunya tindakan menyempitkan takrif Ahlus Sunnah Wal Jamaah di negara ini kerana tindakan seumpama itu tidak bersifat inklusif, bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Titah baginda, sesuatu undang-undang yang ingin digubal hendaklah dipertimbang sewajarnya, terutama mengenai kesan dan akibat apabila sesuatu perkara itu diluluskan oleh Parlimen yang juga badan penggubalan undang-undang yang kompeten di negara ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa beta mengikuti dengan rapat dan menimbangkan dengan penuh berhati-hati akan polemik yang timbul ekoran pembentangan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 melalui bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Dengan melihat butiran RUU yang dibentangkan, beta berpandangan bahawa adalah tidak wajar berlaku dalam negara tercinta ini akan tindakan untuk menyempitkan takrif Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah hanya bersumberkan aliran al Asyairah dan al Maturidiah, dari sudut fiqh hanya daripada Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain, dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid.
Tindakan seumpama ini adalah tidak bersifat inklusif, bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini,” titah baginda yang dikeluarkan oleh Istana Arau, hari ini.
Raja Perlis bertitah, baginda juga selama ini tidak ambil maklum bahawa perkara berkaitan aliran al Asyairah dan al Maturidiah dan mengehadkan mazhab ini sudah diputuskan secara konsensus serta menepati prinsip syura dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Justeru, beta tidak mahu Majlis Raja-Raja diheret dan digunakan bagi menyokong RUU ini.
“Sayugia, beta kongsikan bahawa, selaras Perkara 5, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, sudah memperuntukkan mengenai agama negeri Perlis adalah agama Islam Ahli Sunnah Waljama’ah seperti yang sudah diamalkan di dalam negeri ini,” titah baginda.
Sebagai Ketua Agama Islam negeri Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah adalah menjadi tanggungjawab baginda untuk memastikan pemahaman agama Islam itu hendaklah dalam keadaan harmoni, mengutamakan perpaduan sejagat dan terhindar dari anasir ekstrem yang mengenepikan kepelbagaian pandangan serta khazanah ilmu cendekiawan Islam dalam sejarah Islam yang gemilang.
Baginda bertitah, keluasan pandangan dalam pelbagai cabang amalan agama sudah sekian lama diterima dan diamalkan oleh umat Islam di negara ini serta turut meraikan perbezaan pandangan di seluruh dunia.
“Dalam hubungan ini, Wilayah Persekutuan sepatutnya membawa semangat Federalisme yang memayungi semua pihak.Negara-negara umat Islam lain seperti Arab Saudi, Qatar dan lain-lain akan mudah dianggap terkeluar daripada kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sekiranya takrifan sempit ini diteruskan.
“Beta berharap agar segala yang dizahirkan dalam titah ini diberikan perhatian oleh semua pihak,” titah baginda.
Baginda berharap semua pihak mengutamakan sikap berhati-hati, berfikiran panjang serta penuh hikmah dan santun dalam setiap tindakan, agar sesuatu keputusan yang diambil pada hari ini tidak menimbulkan pertikaian berpanjangan.
Nnnn
