Selepas ‘dikritik, ditekan’ Johari kekal keputusan

KUALA LUMPUR 11 Julai – Speaker Dewan Rakyat,  Johari Abdul kekal mempertahankan keputusannya tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu walaupun mendapat kritikan dan tekanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) petang ini.

Johari ketika menjelaskan ketetapannya di Dewan Rakyat berkata, keputusan dikekalkan selepas melakukan ‘siasatan’ termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya bukan posmen, bila saya terima apa juga yang telah diberi pada saya, seperti disebut (YB) Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee), saya akan pasti… saya pasti… saya kaji semua, saya baca semua kenyataan-kenyataan dalam pindaan dibuat mengenai Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan).

“Maka saya mengambil keputusan, keputusan kekal seperti yang dimaklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu, Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu bangun membangkitkan keputusan Johari itu mengikut Peraturan Mesyuarat 99 ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Beliau mahu mendapatkan penerangan dan petua daripada Johari berhubung keputusan yang dibuat dalam surat yang diutuskan kelmarin.

Ronald berkata beliau bangun bukan untuk mempertikai keputusan berkenaan tetapi mahu menuntut penjelasan bagaimana interpretasi terhadap Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana mendakwa Speaker tidak ada kuasa berbuat demikian.

“Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 49(a) tidak memberi kuasa kepada Tan Sri (Speaker) selain daripada untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan.

“Tetapi dalam dua utusan surat yang saya terima daripada Tan Sri, nyata sekali Tan Sri membuat keputusan malah Tan Sri membuat interpretasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua (keputusan terkandung dalam surat) ini melangkaui kuasa Tan Sri di bawah Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana dalam Perkara 49(3), Tan Sri hanya diberi kuasa untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan, pula berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk membuat interpretasi terhadap Perlembagaan itu dan mana-mana perlembagaan persatuan atau pertubuhan adalah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut merujuk penjelasan yang diberikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mengenai tindakan tidak ikut keputusan parti menyebabkan ahli Bersatu terhenti keanggotaan berdasarkan perlembagan parti terbabit.

“Maka ahli tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.

“Satu lagi contoh, sekiranya ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keanggotaannya digugurkan disebabkan perlembagaan parti tersebut (maka) berhenti menjadi ahli dan perlu bertukar kerusinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin, pula menyokong keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengisytihar kekosongan di DUN Nenggiri.

Beliau turut mendakwa keputusan Speaker Dewan Rakyat itu bakal mencetuskan masalah pada masa akan datang.

“Speaker Kelantan (bersikap) betul putuskan ada kekosongan. Kemudian (wakil rakyat itu) nak lawan saya di mahkamah bahawa saya tidak hentikan keanggotaan mereka. Itulah caranya Speaker. Itulah kepastian yang harus diikuti dalam perlembagaan.

“Saya minta Tan Sri faham, keputusan Tan Sri itu keputusan yang salah…. Speaker kena jadi ‘non partisan’,” katanya yang kemudian keluar Dewan, diikuti semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa menunggu penjelasan Johari.

Related posts

Leave a Comment