Enam kekal Bebas, tidak sertai parti politik

KUALA LUMPUR 11 Julai – Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas Speaker Dewan Rakyat,  Johari Abdul memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

Dr Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) yang mengetuai sidang media hari ini bagi menjelaskan kedudukan mereka berenam turut menegaskan tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain selepas ini.

“Perkara 49A jelas bahawa kami tidak boleh menyertai mana-mana parti kerana ia akan melanggar perkara 49A.

“Apa yang kami perjuangkan sehingga menyebabkan kami menjadi Ahli Parlimen bebas adalah soal peruntukan Ahli Parlimen untuk kami berkhidmat kepada rakyat di kawasan, itu saja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang);  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir kerana tidak sihat.

Suhaili berkata, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat juga tidak berbangkit sama sekali kerana ia akan diputuskan oleh Speaker, jika pembangkang enggan menerima mereka berada dalam bloknya.

“Kami akur kalau Speaker kata kami duduk di tempat sedia ada dan tak akan berpindah. Ini semua keputusan Speaker. Yang menjadikan kami Ahli Parlimen Bebas ialah Perikatan Nasional (PN) daripada blok pembangkang. Jadi kedudukan kami dalam dewan terletak kepada Speaker.

“Status kami Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan oleh PN. Di mana kami duduk, Speaker akan menentukan kerana ini jelas, kami angkat sumpah bukan di hadapan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yasin). Kami angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen, mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

“Sebarang percubaan untuk menafikan hak Perlembagaan kami boleh dianggap sebagai suatu kesalahan di bawah 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.

Malah, beliau berkata, arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini juga bertentangan dan menafikan hak kebebasan bercakap dan berbahas untuk kami di bawah Seksyen 3 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment