Isu kaum, sentimen agama faktor kekalahan

MELAKA 7 Julai – Isu perkauman dan sentimen keagamaan yang dimainkan pembangkang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, antara faktor kekalahan calon Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu kononnya Islam dipinggirkan di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO menerima keputusan pengundi itu dengan hati terbuka dan akan memperbaiki setiap kelemahan untuk menghadapi PRK DUN Nenggiri tidak lama lagi.

Katanya , isu yang dibangkitkan oleh pembangkang bukan saja soal perkauman, tetapi juga soal kebencian.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di sini hari ini, beliau berkata kekalahan calon PH itu bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO untuk menghadapi PRK seterusnya.

Beliau berkata parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.

Pada PRK semalam, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO agar melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi.

“Kita harus ingat politik sekarang bukan politik pembangunan. Politik sekarang ialah politik isu dan sentimen.

“Berapa orang dalam kalangan kita yang (berani) jawab dan pertahankan ketua kita bila dihentam? Kita hanya pandai tularkan dengan kawan-kawan. Dalam situasi ini, kita harus bangkit dan sedar dari sekarang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment