Kekalahan PRK perlu kajian

SEREMBAN 7 Julai – “Sakit berpunca mati bersebab, kita kena cari puncanya,” kata Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan susulan kekalahan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap semalam

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kekalahan itu perlu kajian terutama dari segi jumlah majoriti undi yang lebih besar diperolehi calon Perikatan Nasional (PN) berbanding pada Pilihan Raya Negeri pada Ogos lalu.

“Kekalahan calon Kerajaan Perpaduan perlu kita kaji mengapa majoritinya melebar, sakit berpunca mati bersebab, kita kena cari puncanya daripada majoriti 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada majoriti lebih 4,200 undi.

Pengundi dah buat keputusan, bila mana PRK diadakan, pengundi dipengaruhi banyak isu dan isu ini dimain dan dibongkarkan.

Peratusan yang keluar mengundi tinggi atau rendah juga adalah antara penyebab, tapi perkara ini perlu diambil maklum dan perlu diambil kira oleh semua pihak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Pada PRK berkenaan semalam, calon PN, Abidin Ismail menang dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, yang meraih 10,222 undi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, UMNO perlu mengenal pasti calon lebih awal bagi menghadapi sesuatu pilihan raya untuk mengelak berlaku perebutan dan perbalahan dalam kalangan ahli parti itu jika dilakukan di saat akhir.

Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata pihaknya yakin dan percaya pendekatan itu, dapat mengharmonikan isu pemilihan calon sebelum menghadapi sesuatu pilihan raya serta memberi ruang kepada calon berkenaan mendekati masyarakat.

“Pemilihan seseorang calon bermula dari bahagian dan prosesnya harus dibuat dari awal, tidak sesuai dibuat pada saat-saat akhir ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen hendak dibubarkan.

“Kita kalah pilihan raya kerana masalah calon, sama ada tak dapat restu bahagian, tidak popular dan sebagainya.

“Adalah penting harmonikan dulu proses memilih calon bagi mengelak perebutan dan perbalahan. Bila dapat kenal pasti dari awal, mungkin dua atau setahun sebelum pilihan raya, orang dah kenal dia.

“Saya fikir, sekarang sudah boleh untuk kenal pasti calon untuk beri ruang dia lakukan kerja serta memperkenalkan diri kepada masyarakat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment