PKR ambil tanggungjawab kekalahan

NIBONG TEBAL 6 Julai – PKR mengambil tanggungjawab kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap malam ini sebagai tekad untuk bermuhasabah diri.

Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, berkata walaupun kalah, PKR akan terus berusaha melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.

“Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.

“Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Perpaduan di Bilik Gerakan Utama di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengarah Pilihan Raya PH PRK DUN Sungai Bakap Dr Mohamad Abdul Hamid dan calon PH bagi PRK DUN Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.

Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari.

Nurul Izzah, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Pulau Pinang, turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan undi kepada parti itu.

“Tidak dilupakan pasukan jentera PH dan Barisan Nasional yang telah bertungkus-lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Related posts

Leave a Comment