SINGAPURA 2 Julai – Polis Singapura dan Malaysia berjaya menumpaskan operasi kumpulan penjenayah terancang dengan menahan 43 orang berumur antara 34 dan 82 tahun yang disyaki terbabit dalam pertaruhan judi haram.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), sembilan akan didakwa hari ini atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Perjudian manakala bakinya sedang disiasat.
Dalam operasi bersama dijalankan dari 30 Jun hingga semalam, pegawai SPF dari pelbagai bahagian melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi yang membawa kepada penahanan 37 lelaki dan dua wanita.
Pada masa sama, pegawai polis Malaysia turut menahan empat lelaki warga Singapura.
SPF mengeluarkan perintah larangan pelupusan untuk tujuh hartanah dengan anggaran bernilai lebih SGD$10.7 juta (RM37.02 juta).
Wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan lebih 40 akaun bank dengan jumlah anggaran hampir SGD$4 juta (RM13.84 juta) turut dirampas untuk siasatan dan bagi mengelakkan hasil jenayah yang disyaki hilang.
Turut dirampas, peranti elektronik seperti komputer dan telefon bimbit serta peralatan berkaitan perjudian turut dirampas polis sebagai bukti.
(Wang tunai dan peralatan yang dirampas – Foto SPF)
