MAKKAH 25 Jun – Ahli tertua keluarga Al-Shaibi, Syeikh Abdul Wahhab Al-Shaibi dilantik menjadi pemegang baharu kunci Kaabah, individu ke-78 memegang amanah itu.
Beliau menggantikan pemegang kunci ke-77, Sheikh Saleh Al-Shaibi yang meninggal dunia Jumaat lalu.
“Semoga Allah SWT memberi saya kejayaan dalam melaksanakan tugas ini di bawah pemerintahan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman,” katanya pada penyerahan kunci Kaabah semalam.
Untuk rekod, Saleh Al-Shaibi dilantik sebagai penjaga Kaabah pada 2013 selepas bapa saudaranya, Abdulqader Taha Al-Shaibi meninggal dunia.
Pada masa ini, fungsi penjaga terhad kepada pembukaan dan penutupan Kaabah.
Tanggungjawab memegang kunci pintu Kaabah biasanya diserahkan kepada anggota tertua keluarga kaum Al-Shaibi, tidak semestinya anak lelaki pemegang kunci sebelumnya.
Peraturan itu membolehkan kepercayaan berkenaan dilakukan secara lancar dalam kalangan anggota keluarga terbabit.
Keluarga berkenaan diamanahkan untuk memegang kunci itu sejak zaman Rasulullah SAW.
Apabila Nabi Muhammad SAW menawan Makkah, baginda meminta kunci berkenaan.
Rasulullah kemudian menunaikan solat di dalamnya, membersihkannya sebelum menyerahkannya semula kepada Shaibah Al-Awqas, sambil bersabda, kunci itu akan kekal dengan keluarga itu sehingga hari kiamat.
Nnn
