BAITULMAQDIS: Kehabisan bekalan ubatan-ubatan dan masalah bekalan elektrik yang berterusan akibat perang menyebabkan lebih 1,000 pesakit buah pinggang, termasuk kanak-kanak di Gaza terancam.
Kementerian Kesihatan Gaza, memaklumkan kekurangan bekalan ubat memberi kesan kepada pesakit dialisis, selain mengehadkan perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada mereka dalam ‘rawatan paliatif’.
“Disebabkan pencerobohan berterusan oleh tentera Israel, hospital dan pusat kesihatan tidak lagi dapat menyediakan perkhidmatan perubatan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
“Antara ubat-ubatan yang hampir kehabisan adalah yang digunakan untuk bius, rawatan rapi, pembedahan dan rawatan untuk pesakit onkologi serta dialisis,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Palestin, Rik Peeperkorn memaklumkan, penutupan lintasan Rafah turut menyebabkan kira-kira 2,000 pesakit tidak dapat dipindahkan.
“Sekurang-kurangnya 2,000 pesakit yang memerlukan pemindahan perubatan terperangkap di Gaza sejak lintasan sempadan Rafah ditutup,” katanya.
Sebelum penutupan, kira-kira 50 pesakit kritikal meninggalkan Gaza (ke Mesir) dalam tempoh sehari manakala sejak 7 Mei lalu, sekurang-kurangnya 2,000 pesakit tidak dapat meninggalkan Gaza untuk menerima rawatan perubatan.
“Kami memerlukan lebih banyak laluan untuk pemindahan kecemasan perubatan, kami ingin melihat Kerem Shalom (Karem Abu Salem) dan laluan lain turut dibuka di mana pesakit kemudiannya boleh dirujuk ke hospital rujukan di Baitulmaqdis Timur
dan Tebing Barat,” katanya.
Beliau menambah terdapat sekurang-kurangnya 10,000 orang memerlukan pemindahan segera dan menggesa lebih banyak lintasan dibuka untuk memudahkan mereka keluar.
Jumlah kematian penduduk Palestin akibat pencerobohan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 37,658, menurut sumber perubatan.
Sekurang-kurangnya 86,658 orang cedera dalam serangan berkenaan.
Nnn
