SEPANG 26 Jun – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa Dr Mahathir Mohamad cuba untuk memecatnya sebanyak tiga kali di hadapan Kabinet ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu mendakwa Dr Mahathir bertindak demikian disebabkan keazaman beliau untuk melaksanakan langkah-langkah yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH 2018.
“Selain itu, Dr Mahathir juga sangat marah dengan peranan dimainkan oleh Ahli Parlimen DAP Damansara ketika itu, Tony Pua selaku setiausaha politik saya. Beliau berkali-kali memberikan bayangan untuk saya memecat Tony Pua.
“Saya enggan tunduk kepada desakan tersebut dan menjelaskan bahawa saya juga akan meletakkan jawatan sekiranya Dr Mahathir memaksa pemecatan (Tony Pua),” katanya.
Guan Eng menyatakan demikian dalam satu kenyataan di Facebooknya sebagai maklum balas terhadap buku bertajuk Shattered Hopes yang ditulis oleh Romen Bose yang mengupas peristiwa politik Malaysia pasca 2018.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, buku tersebut mendedahkan sudut pandang Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya kenyataan ‘separuh benar dan palsu’.
“Umum sudahpun kenal dengan sikap Dr Mahathir, seorang yang pakar dalam memilih gambaran terbaik buat beliau semata-mata. Mudah untuk kita mengaitkan kepincangan maklumat tersebut dek kerana nyanyuk dalam usia lanjut beliau.
Namun atas cita-cita dan azam tinggi serta motivasi politik membalas dendam yang dipamerkan memaksa saya menulis dan memperbetulkan kenyataan tersebut,” katanya.
Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu secara terbuka marah dengan desakan berterusannya untuk mengurangkan tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus.
“Beliau juga menentang tindakan saya bagi melaksanakan tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan,” katanya.
Katanya, selaku Menteri Kewangan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua, beliau ‘berada di sebelah’ pemimpin veteran itu dengan hasrat melaksanakan manifesto PRU 2018 oleh PH.
“Malang sekali, apabila beliau mula menghina tekad dan janji manifesto tersebut secara terbuka dan kemudiannya terang-terangan mengingkari hampir setiap janji pilihan raya utama yang dibuat oleh PH.
“Bermula dengan kenyataan bahawa Manifesto Pilihan Raya PH bukanlah ‘kitab suci’, kepada menentang janji-janji utama secara terbuka seperti pengurangan tol lebuh raya, pentadbiran PH pada 2018 lantas menjelma menjadi medan pertempuran sengit setiap hari,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam komennya mengenai buku itu menolak dakwaan kononnya veteran parti DAP, Lim Kit Siang dikatakan berusaha ‘membina semula penduduk Cina’ ketika kerajaan PH berkuasa buat kali pertama pada 2018.
“Satu-satunya respons saya untuk itu ialah ‘sampah’,” katanya
Nnnn
