KUALA LUMPUR 24 Jun – Kenyataan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan berhubung isu pemilikan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang ada kepentingan BlackRock adalah pendapat peribadi.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO sependapat dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung isu pemilikan tersebut.
“Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadi dan saya sudah bertemunya malam tadi. Beliau menyatakan itu hanya pandangannya bukan mencerminkan pandangan UMNO secara rasmi,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui ketika merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM seluruh negara di sini hari ini.
Ahmad Zahid juga berkata isu itu juga sudah dibawa beberapa kali perbincangan dalam Kabinet, tetapi tidak dibincangkan secara terperinci.
“Butiran terperinci perkara itu sudah dijelaskan dalam pertemuan semalam bersama seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata UMNO mendesak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada syarikat pro-Israel iaitu BlackRock.
Mohamad berkata, keputusan berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun masih mengharapkan ia dikaji semula.
Jumaat lalu, Anwar meminta isu berkenaan tidak dijadikan ‘wayang politik’ dan pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana langkah itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.
“Sementara kita keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, kita sedia berdepan dengan siapa saja.
“Tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan,” kata Perdana Menteri.
Nnn
