Pyanhabib meninggal dunia

KUALA LUMPUR 4 Jun – Penyair dan pelakon, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Dalam hantaran melalui Facebook, isteri Allahyarham memaklumkan:  “Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. kembali pada penciptaNya. Maafkan kesalahannya doakan yang baik baik untuk nya,”

Isnin lalu, Pyanhabib menulis di Facebook ketika menyambut hari lahir ke-66 tahun.

“Cucu minta potong kek, saya pun potong kek.

“Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah,” katanya.

Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Sementara itu, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata pemergian Pyanhabib dianggap sebagai satu kehilangan besar terhadap PENA.

“Dari sudut persahabatan Allahyarham dengan PENA, kami memang sangat akrab kerana beliau adalah seorang yang sangat mengambil berat dan kuat mempertahankan PENA dalam pelbagai segi seperti imej dan mencari bantuan.

“Kami terkejut dengan pemergiannya, namun kami tahu beliau tidak sihat. Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang lalu juga tidak muncul,” katanya ketika dihubungi BH.

Mohamad Saleeh berkata, Pyanhabib ini boleh diibaratkan sebagai pengganti kepada pelakon dan pengarang terkemuka, Allahyarham Khalid Salleh yang sentiasa mengambil berat tentang PENA, kerana meneruskan komitmen berkenaan.

“Walaupun kami sedih, tetapi reda kerana tahu tahap kesihatannya yang semakin kurang baik sejak pulang daripada menunaikan umrah pada tahun lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment