TANJONG 3 Jun – Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang memutuskan akan meletakkan calon dari PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bakal diadakan tidak lama lagi, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow
Beliau berkata tiada parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan menuntut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang secara tradisi ditandingi PKR pada pilihan raya sebelum ini.
Katanya, barisan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang memutuskan pencalonan wakil PKR itu dengan sebulat suara atas semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula.
“Jadi kita akan masuk pertandingan ini atas semangat kebersamaan yang kita sudah jalinkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan PKR sedia menyahut mandat memilih calon bagi PRK Sungai Bakap.
Dalam hal ini, parti lain tidak meminta untuk bertanding atas semangat kebersamaan (malah) sebelum kita buat keputusan semua parti menyatakan sokongan kepada PKR untuk menghantar calon dan ia keputusan ‘straight forward’ tanpa ada sebarang pertikaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan negeri di Wisma DAP di sini, hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Amanah Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri turut mengumumkan Mohamad sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap dengan empat lagi nama Timbalan Pengarah PRK yang mewakili semua parti komponen Kerajaan Perpaduan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau berkata, pihaknya akan membincangkan strategi, gerak kerja, penubuhan jawatankuasa berkaitan termasuk membincangkan isu-isu yang perlu diberi perhatian bermula dari sekarang sehingga bermulanya PRK Sungai Bakap akan datang.
“Mesyuarat menunjukkan semangat perpaduan yang amat kuat di mana semua pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan teguhnya menyatakan akan bertanding secara ‘all out’ (habis-habisan) untuk membawa mesej perpaduan kepada rakyat jelata,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, pihaknya telah menyerahkan lima nama kepada pucuk pimpinan parti dan apa yang penting pada ketika ini ialah bekerja keras dan terus bergerak menyantuni rakyat secepat mungkin.
“Memadai saya katakan kita ada calon-calon daripada kedua-duanya (lelaki dan wanita), sudah tentu calon yang boleh menang dan mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan,” katanya.
Musa berkata, BN Pulau Pinang akan memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap bagi memastikan kemenangan.
“BN telah bersedia turun padang di lapan PDM (pusat daerah mengundi) siapa sahaja mewakili Kerajaan Perpaduan, UMNO akan turun padang dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan calon tersebut,” katanya.
Nnn
