KUALA LUMPUR 1 Jun – Kementerian Pendidikan belum menerima pemakluman berhubung pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Dr Roslan Hussin sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baharu PKR.
Berikutan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meminta Roslan memberi tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan.
“Beliau masih penjawat awam dan boleh menjalankan tugas seperti biasa,” kata Ketua Wanita PKR itu selepas merasmikan program Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2023 di Pusat Sains Negara.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, mengumumkan Dr Roslan sebagai seorang daripada tiga ahli MPP PKR yang baharu selain Datuk Dr Sangkar Rasam dan Azan Ismail.
Pelantikan itu turut membabitkan pertukaran beberapa pengerusi negeri, yang diputuskan dalam mesyuarat MPP PKR.
Susulan pelantikan Roslan, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden
mempersoal mengenai kewajaran pelantikan itu berikutan semakan di laman web KPM mendapati Roslan juga individu sama yang memegang jawatan Pengarah JPNS.
