Berita ibu bapa Rayyan direman mengejutkan

PETALING JAYA 1 Jun – Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga Jumaat.

Majistret Ainaa Muhammad Kamal mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini pada pukul 8.50 pagi untuk direman.

Sementara itu, peguam mewakili mereka, Mahmud Abdul Jumaat, berkata tangkapan dan reman tujuh hari itu adalah berdasarkan perkembangan terbaharu yang diperoleh dalam siasatan polis berhubung kes itu.

Beliau berkata, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) direman tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Jun ini bagi siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurutnya, reman tujuh hari yang dibenarkan oleh Ainaa hari ini bagi membolehkan kedua-dua OYDS untuk membantu siasatan polis dengan lebih lanjut.

“Ada perkembangan terbaharu dari segi percakapan (rekod percakapan OYDS) sebelum ini dan termasuk juga ada beberapa perkembangan terbaharu hasil siasatan pihak polis yang telah ditemui.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang spekulasi. Saya memohon semua pihak untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini,” katanya selepas tamat prosiding reman.

Beliau menjelaskan, kes ini masih dalam tempoh reman dan ia bertujuan untuk memberi masa bagi pihak polis untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya siasatan tamat, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya dan pada saat itu, suspek utama akan diketahui,” katanya.

Mengenai kemungkinan bukti baharu diperoleh polis atau rekod percakapan mereka sebelum ini yang bercanggah, Mahmud berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.

Mahmud berkata, kedua-dua OYDS masih dalam keadaan terkejut dan semua pihak tahu kedua-dua mereka adalah ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sudah tentu sangat terkejut, OYDS adalah ibu bapa kepada mangsa dan ini satu perkara yang tidak dijangkakan. Saya sendiri pun agak terkejut, saya percaya satu Malaysia terkejut mengenai perkara ini. Oleh yang demikian saya memohon semua pihak mendoakan agar keluarga kuat untuk menerima perkhabaran ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau pihaknya yakin permohonan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan oleh pihak polis hari ini adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan. Sekiranya pihak polis dalam tempoh tujuh hari ini tidak dapat melengkapkan siasatan, mereka boleh memohon reman kali kedua,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment