Tidak adil desak Hannah Yeoh letak jawatan

KUALA LUMPUR 29 Mei – Tidak adil untuk mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak Kerajaan Selangor kepada syarikat suaminya, kata Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, berkata, desakan yang dibuat oleh P. Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar daripada parti.

Timbalan Menteri Komunikasi itu mempersoalkan tindakan Ramasamy sebelum ini yang tidak melakukan gesaan sama ketika bekas Setiausaha Agung yang kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.

Nie Ching menjawab gesaan Ramasamy supaya Hannah meletak jawatan atas dakwaan kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor diberikan kepada syarikat suaminya secara rundingan terus.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan membuktikan bahawa ada salah guna kuasa, saya percaya bahawa beliau (Hannah) akan tertakluk kepada tahap penyiasatan yang sama.

“… saya rasa beliau akan bekerjasama dengan sebarang bentuk siasatan tetapi soalan sama ada beliau wajar untuk letak jawatan, saya fikir ia terlalu awal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau bertanya, adakah Ramasamy ketika itu meminta Lim Guan Eng (LGE) meletak jawatan dan kenapa dia tukar pendirian sekarang?

“Adakah kerana LGE ketika itu Setiausaha Agung dan Ramasamy tidak mahu serang dia atau pun masa itu (Ramasamy) dalam DAP tidak boleh serang dan kini apabila sudah keluar DAP, dia hendak jadi malaikat?” katanya.

Semalam Ramasamy berkata, supaya tidak dimalukan, sama ada Yeoh atau suaminya Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility, Ramachandran Muniandy harus meletak jawatan masing-masing.

Ramasamy berkata, beliau tidak menyentuh soal kecekapan Asia Mobility tetapi persoalannya ialah bagaimana projek itu boleh dianugerahkan melalui rundingan terus sedangkan orang utama atau CEO kebetulan adalah suami kepada Yeoh.

“Yeoh ialah pemimpin kanan DAP, sebuah parti yang menyokong tender terbuka dan ketelusan dalam pemberian projek kerajaan,” kata Ramasamy.

Beliau berkata sebagai menteri Persekutuan, Yeoh seharusnya tidak terjebak “amalan kronisme dan pilih kasih”.

“Jika sekalipun jawatankuasa pemilihan tidak mengetahui hubungan keluarga Yeoh dan Ramachandran, Yeoh sepatutnya lebih tahu dalam menasihati suaminya. Dia harus menasihatinya supaya tidak terlibat dalam projek itu sejak awal.” katanya.

Katanya, apa juga hujah menyokong keputusan projek itu diberikan kepada Asia Mobility, ia tidak dapat dipertahankan dari segi politik.

“Sama ada Yeoh perlu melepaskan jawatannya sebagai menteri atau syarikat tidak sepatutnya menerima penganugerahan projek itu atau alternatifnya Ramachandran meletak jawatan daripada syarikat itu,” kata

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menegaskan setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment