Tidak ada istilah kes selesai

SEPANG 29 Mei –  Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan darisegi undang undang jenayah tidak ada istilah kes telah selesai walaupun mangsa membuat aduan polis kedua menyatakan bahawa kes telah selesai.

Katanya, apabila sesuatu laporan polis dibuat maka dokumen itu dipanggil First Information Report atau ringkasnya FIR.

Beliau berkata, jika kesalahan itu merupakan serangan fizikal ke atas diri sesorang dan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan maka tugas polis ialah memanggil pihak yang menyerang mangsa itu untuk disiasat.

Polis juga perlu menghantar mangsa ke Hospital Kerajaan yang berdekatan untuk memeriksa kecederaan yang dialami serta membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan penyerang di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ atau CPC).

“Jika siasatan terpaksa memakan masa melebihi 24 jam maka penyerang perlu ditahan di bawah Seksyen 117 KAJ dengan membawa si penyerang ke Mahkamah atau ke balai polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian dalam satu kenyataan dipercayai merujuk kes seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kerabat diraja di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memaklumkan lelaki terbabit membuat laporan polis kedua untuk menyatakan niatnya tidak mahu memanjangkan kes berkenaan selepas membuat laporan awal pada sebelah siangnya.

Menurut Hassan apa yang penting laporan polis yang pertama  iaitu FIR.

“Kes telah selesai ia membawa makna dari segi kesalahan tort di mana si mangsa tidak berniat untuk mengambil tindakan sivil bagi kesalahan tort yang merupakan serangan ke atas diri yang dipanggil assault and battery.

Tetapi bagi kesalahan jenayah, itu adalah dalam bidang kuasa Polis. Walau si mangsa tarik balik laporan polisnya yang pertama atau membuat laporan polis yang kedua menyatakan kes telah selesai maka dari perjalanan undang-undang ia tidak boleh mempengaruhi atau memberhentikan tindakan Polis.

Ini adalah kedudukan undang-undang di bawah rule of law atau sistem kedaulatan undang undang di negara kita Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah sama rata atau kesamarataan kepada setiap warga negara di bawah undang-undang.

“Tidak kira yang menyerang itu orang atasan atau pegawai peribadi orang atasan hatta bertugas sebagai pegawai atau pengawal peribadi kaum kerabat raja hatta bertugas dengan raja atau Sultan memerintah negeri atau Yang di-Pertuan Agung sekalipun maka kesalahan jenayah terhadap rakyat biasa lebih-lebih golongan lemah OKU tidak boleh dipandang ringan.

Di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan setiap warganegara termasuk golongan OKU dijamin kebebasan dirinya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment