Dunia kutuk serangan Israel

RAFAH: Dunia terus mengutuk serangan Israel yang membunuh 45 mangsa dan mencederakan 249 yang lain, selepas sebuah kem khemah pelarian menempatkan penduduk Palestin musnah terbakar.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata, serangan itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan pusat perpindahan di barat laut Rafah berhampiran kemudahan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA

Negara  pengantara Mesir dan Qatar, serta kerajaan serantau yang lain membantah serangan itu manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata tiada lagi tempat selamat di Gaza dan kengerian itu mesti dihentikan.

Mesir kesal dengan serangan menyasarkan orang awam yang tidak berdaya, menyebutnya sebagai sebahagian daripada dasar sistematik bertujuan meluaskan skop kematian dan kemusnahan di Semenanjung Gaza untuk menjadikannya tidak boleh didiami.

Jordan menuduh Israel melakukan ‘jenayah perang yang berterusan’, Arab Saudi mengutuk ‘pembunuhan beramai-ramai’, dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berikrar ‘untuk menghadapkan pengganas dan pembunuh itu ke muka pengadilan’.

Qatar mengecam ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berbahaya’ dan menyuarakan kebimbangan pengeboman itu akan merumitkan usaha pengantaraan yang berterusan ke arah gencatan senjata.

Pengerusi Kesatuan Afrika (AU), Moussa Faki Mahamat, berkata di platform X bahawa ‘Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa… menghina keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dua hari lalu yang mengarahkan tindakan ketenteraan dihentikan di Rafah’.

UNRWA kini menjadi pusat di Rafah untuk membantu operasi di wilayah yang dikepung semasa perang dan ketuanya, Philippe Lazzarini, berkata di Platform X bahawa pemberian bantuan dan perlindungan saban hari menjadi semakin menjadi mustahil.

“Imej dari malam tadi adalah bukti bagaimana Rafah bertukar menjadi zon perang, dengan sekatan pergerakan yang ketat, serangan Israel dan pelancaran roket Hamas serta lain-lain cabaran… yang tidak membenarkan kami mengedarkan bantuan,” katanya.

Pemangku pengarah di Hospital Khas Kuwait di Rafah, Dr Suhaib al-Hams, berkata hospital itu kini tidak beroperasi dan dipindahkan selepas tembakan Israel memusnahkan pintu dan membunuh dua pegawai perubatan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment