BAITULMAQDIS: Menyifatkan serangan maut di kem pelarian di Rafah, Gaza adalah ‘kemalangan tragis’, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus berikrar bahawa tentera Israel tidak akan menghentikan serangan.
Dalam ucapan di Knesset (Parlimen Israel), Netanyahu dilaporkan media, berikrar untuk meneruskan pertempuran sehingga Hamas dimusnahkan sama sekali.
Beliau turut mengecam tekanan, baik dari dalam dan luar negara, yang dihadapi kerajaannya sejak perang di Gaza bermula 7 Oktober lalu serta menegaskan tiada ganti untuk kemenangan mutlak di Gaza.
“Mereka menekan kami ketika itu… Jangan masuk Gaza. Kami masuk! Jangan masuk Shifa! Kami masuk! Jangan masuk Khan Younis! Kami masuk! Jangan masuk Rafah! Kami masuk!
Saya tidak berputus asa dan saya tidak akan berputus asa! Saya akan menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara,” katanya menyenaraikan tuntutan antarabangsa bagi menghentikan serangan di Gaza, yang tidak dipedulikan tentera Israel.
Netanyahu, bagaimanapun berkata pihaknya sedang menyiasat kes serangan maut di kem pelarian di Rafah yang meragut nyawa 45 pelarian dan mencederakan 249 yang lain selepas bedilan tentera Israel menyebabkan kebakaran lewat Ahad lalu.
Israel menghadapi gelombang kecaman antarabangsa berhubung serangan Rafah, termasuk dari seluruh rantau itu serta dari Kesatuan Eropah, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Israel berkata ia melancarkan siasatan ke atas serangan yang dikatakan dilakukan berdasarkan ‘maklumat risikan yang tepat’ mengenai dua pemimpin kanan Hamas di Tebing Barat, Yassin Rabia dan Khaled Nagar, yang dikatakan terbunuh.
Ia juga berkata serangan tidak berlaku di kawasan zon selamat di Al-Mawasi, di mana pasukan pertahanan Israel (IDF) menggalakkan orang awam untuk berpindah sejak operasi darat bermula di Rafah.
Nnn
