GENEVA: Perjanjian global bagi kesiapsiagaan pandemik masa depan yang disifatkan penting, gagal dimuktamadkan apabila sesi rundingannya, berakhir tanpa kata sepakat dalam kalangan 194 negara yang terbabit.
Namun, terdapat beberapa negara yang masih mahu persetujuan dicapai bagi memeterai perjanjian berkenaan.
Malah, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menegaskan bahawa perkembangan itu bukanlah suatu kegagalan.
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya mahu semua negara melihatnya sebagai peluang yang baik untuk kembali semula dengan semangat lebih tinggi.
“Ini bukan kegagalan. Dunia masih memerlukan perjanjian pandemik dan kita perlu bersedia,” katanya selepas rundingan berakhir di ibu pejabat WHO di Geneva.
Rundingan itu, walaupun dilihat positif pada minggu terakhir, gagal mencapai kata sepakat sebelum berlangsungnya Perhimpunan Kesihatan Sedunia minggu depan, yang mengumpulkan 194 negara anggota WHO.
Perhimpunan yang akan berlangsung dari Isnin hingga 1 Jun nanti akan memutuskan tindakan yang perlu dilakukan seterusnya.
