TOKYO: Jepun melaksanakan pusingan kelima pelepasan air radioaktif terawat ke laut dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang tidak beroperasi, demikian menurut pengendali Tokyo Electric Power Company Holdings Inc. (TEPCO).
Menurut TEPCO, pelepasan terbaru sejak 19 April termasuk 7,800 tan air diproses, dan merancang mengeluarkan sejumlah kira-kira 54,600 tan dalam tahun fiskal yang berterusan, berakhir Mac depan dengan jangkaan enam lagi pusingan.
“Paras tritium yang tidak normal belum dikesan di perairan berhampiran,” kata TEPCO yang mengeluarkan sekitar 31,200 tan dalam empat kelompok dari Ogos lalu hingga Mac tahun ini.
Jepun mula mengeluarkan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji itu Ogos lalu, mencetuskan reaksi kuat dari China dan parti pembangkang di Korea Selatan dan Kepulauan Solomon.
Beijing mengharamkan import makanan laut dari Jepun selepas Tokyo meneruskan rancangan untuk melepaskan air berkenaan.
Loji itu mempunyai lebih daripada 1 juta tan air sisa terawat untuk dilepaskan dalam proses 30 tahun. Ia ditutup selepas menghadapi kemalangan nuklear terbesar sejak 1986 di Chernobyl, berikutan gempa bumi dan tsunami pada 2011.
Nnn
