KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan digesa mempercepatkan reformasi institusi yang dijanjikan termasuk memisahkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, dan pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Parlimen.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kestabilan politik yang ada kini sepatutnya masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan sebelum pilihan raya.
Katanya, tahun lalu, dalih politik dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan reformasi itu terutama beberapa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan, selain kesibukan pemimpin membuat persiapan pilihan raya di enam buah negeri.
Bagaimanapun katanya, tahun ini, sudah memperlihatkan kestabilan kerajaan yang semakin mengukuh, maka ia perlu disegerakan.
Beliau berkata, masa depan agenda reformasi bergantung kepada komitmen kerajaan untuk melunaskannya dengan meletakkan garis masa bersesuaian agar dalam tempoh yang berbaki ini berlakunya perubahan struktur yang signifikan.
“Reformasi yang kita bicarakan adalah reformasi jangka panjang, yang pangkalnya adalah perubahan struktur, bukan semata atas sentimen menjatuhkan rejim. Ini kerana tanpa perubahan yang bersifat berstruktur ia akan membenamkan perjuangan demokrasi,” katanya dalam ucaptama sempena Kongres BERSIH 2024 di sini, hari ini.
Muhammad Faisal berkata, Malaysia kini berada di antara persimpangan yang akan menentukan hala reformasinya- sama ada ‘reformasi sejati’ ke arah pendemokrasian dan dasar tatakelola yang lebih baik, atau meniti jalan ‘reformasi dikorupsi’ apabila agenda reformasi ini dikuburkan.
“Bertitik tolak dari itu, ia harus menyedarkan kita bahawa tahun 2024-2025 adalah tahun yang amat kritikal dalam mencoret hala tuju usaha pendemokrasian Malaysia.
“Ini kerana tahun ini, adalah tahun yang terbaik untuk kerajaan melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh mandat yang ada,” katanya.
Beliau menegaskan kestabilan politik perlu membuka ruang kerajaan melaksanakan agenda ekonomi dan menangani masalah kos sara hidup rakyat.
