Mahmoud Abbas hargai Norway

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengadakan panggilan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store susulan pengiktirafan negara itu ke atas Palestin.

“Tuan Yang Terutama Presiden berterima kasih kepada Perdana Menteri Norway atas pendirian berani dan berprinsip negaranya dalam mengiktiraf negara Palestin,” kata pejabat Presiden Palestin dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan keputusan mengiktiraf Palestin.

“Kami berharap semua negara Eropah yang tidak mengiktiraf negara Palestin akan mengikuti contoh langkah berani Norway, Sepanyol dan Ireland untuk mengiktiraf negara Palestin,” kata Abbas.

Kerajaan Israel sebelum ini mengancam “akibat” yang perlu ditanggung jika ketiga-tiga negara itu bergerak ke hadapan dengan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Terdahulu di BOGOTA, Menteri Luar, Luis Gilberto Murillo, berkata Presiden Colombia, Gustavo Petro, mengarahkan kedutaan negara ini dibuka di bandar Ramallah.

Pengumuman itu dibuat selepas kerajaan pimpinan Petro menarik balik diplomat Colombia dari Israel dan memutuskan hubungan dengan Israel pada 2 Mei lalu, selepas menyifatkan tindakan rejim Zionis di Gaza sebagai ‘genosid.’

Pada 20 Oktober lalu, Petro menyatakan hasrat untuk membuka Kedutaan Colombia di Palestin ketika beliau bertemu Duta Israel, Gali Dagan, dan Duta Palestin, Raouf Almalki.

Murillo berkata, Petro juga mengetuai mesyuarat pemimpin di Saint Vincent dan Grenadines di mana mereka bersetuju melaksanakan strategi supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami yakin bahawa lebih banyak negara akan mengiktiraf Palestin, dan ini bukanlah sesuatu yang menentang Israel atau Yahudi.

PBB bersetuju dalam konteks Perjanjian Oslo bahawa penyelesaian dua negara akan diwujudkan dan jika dua negara diperlukan, Palestin perlu diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah,” katanya.

Colombia telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 3 Ogos 2018 ketika bawah pemerintahan Juan Manuel Santos.

Related posts

Leave a Comment