37 kes baharu, 1 kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 37 kes baharu positif Covid-19 dikesan setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 6,978 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 31 lagi kes jangkitan dilaporkan pulih, menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 5,646 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Daripada 37 kes baru yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan di mana 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat 11 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, satu lagi kematian dicatatkan akibat Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-114 (kes ke-6942) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan barah hati.

Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan telah disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2020, pukul  3.09 minit pagi.

Related posts

Leave a Comment