Beras bernilai RM2.1 juta dirampas

KUALA LUMPUR 22 Mei – Sebanyak 645.75 tan beras pelbagai gred, termasuk Beras Putih Import (BPI), yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Sibu, Sarawak, minggu lalu.

Serbuan bersepadu Op TARING BRAVO 3 dilancarkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), pada 15 dan 16 Mei lalu.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPB menyita stok beras terbabit serta dokumen berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 PU (A) 624.

“Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat terbabit, sama ada terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi, iaitu BPI,” demikian menurut kenyataan KPKM.

Menurut KPKM, penyelewengan barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara, sekali gus menyebabkan rakyat tidak dapat membeli barangan itu.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi subsidi BPI bernilai RM950 setiap tan di peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit tidak melebihi RM31 setiap kampit 10 kilogram, mulai 5 Oktober lalu.

“KPB sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan negara iaitu MCBA, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kerjasama itu dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang cubaan menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak. Ia termasuk cubaan membawa keluar beras terbabit dari sempadan negara,” kata kenyataan itu.

Justeru KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil jika pemegang lesen gagal mematuhinya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang mengenai padi dan beras, diminta menyalurkannya melalui Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/aduatau hubungi Ibu Pejabat KPB di Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.

 

(Foto Fb Mohamad Sabu)

Related posts

Leave a Comment