JOHOR BAHRU 18 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram semalam dengan mana-mana agama.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata, masyarakat perlu mengelakkan membuat sebarang spekulasi liar berkaitan insiden itu.
“Kita gesa supaya masyarakat elak dan tidak buat spekulasi (insiden serangan balai polis). Media juga begitu (tidak buat spekulasi). Kita juga mohon supaya fokus kepada melaporkan fakta kes seperti yang disebut oleh polis.
“Tidak perlu kita nak kaitkan insiden ini dengan agama misalnya. Itu penting. Kita akan berikan butiran maklumat setakat yang kita temui tanpa kita nak berlebih-lebihan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Saifuddin juga menegaskan serangan ke atas balai polis itu adalah dilakukan suspek, warganegara berusia 21 tahun secara sendirian bukan membabitkan organisasi besar dan terancang yang boleh dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan termasuk Jemaah Islamiah (JI).
Katanya, polis juga sudah selesai mengambil keterangan 46 individu bagi membantu siasatan sama ada mempunyai kaitan dengan insiden itu dan kesemuanya sudah dibenarkan pulang selepas keterangan mereka diambil.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, profil 46 individu yang dipanggil memberi keterangan berada dalam pangkalan data polis.
“Polis mempunyai pangkalan data lengkap berkaitan insiden jenayah dalam negara. Bila dapati corak serangan (balai polis) sebegitu jadi kita padankan dengan profil dalam pangkalan data,” katanya.
Dalam pada itu, polis sudah menjalankan pemeriksaan di rumah keluarga suspek dan menemui beberapa bahan yang memerlukan siasatan lanjut.
“Yang kita terus tahan adalah ibu bapa dan adik beradik suspek (lima orang).
Siasatan perlu diteruskan berdasarkan penemuan bukti. Contohnya jika ada buku catatan pun akan jadi sebahagian siasatan polis,” katanya.
