JASIN: Pemuda UMNO memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjadi `pengadu domba’ dengan mengemukakan cadangan `dangkal’ mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata Pemuda berpegang dengan pendirian seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa UiTM yang menjadi sebahagian hak keistimewaan Melayu serta Bumiputera, tidak disentuh pihak lain.
Katanya, pendirian tegas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertahankan UiTM hanya untuk pelajar Bumiputera adalah tepat dan sejajar dengan Fasal 1A, Akta UiTM (Akta 173) yang mana universiti itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan sesekali membangkitkan isu seperti ini lagi kerana UiTM akan kekal milik Bumiputera tanpa kompromi, dulu, kini dan selamanya.
Pemuda UMNO akan mempertahankan perkara itu. Jika ada cadangan untuk melatih doktor pakar di UiTM, ia mestilah dalam kalangan Bumiputera dan untuk bukan Bumiputera pula boleh ditawarkan ke universiti lain.
“Jangan ganggu UiTM, itu amaran keras Pemuda UMNO kepada mana-mana pihak yang cuba menjadi `pengadu domba’ dengan mengemukakan cadangan terbabit dan kami akan memastikan UiTM kekal milik Bumiputera selamanya,” katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesukarelawan Antarabangsa UiTM di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.
Semalam, bekas felo pelawat Universiti Melbourne, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, dilapor berkata sudah tiba masanya Akta UiTM 1976 yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera dikaji semula mengikut keperluan semasa.
Bekas ahli akademik itu berkata, UiTM seharusnya membuka pintu kepada pelajar bukan Bumiputera dengan bersyarat, iaitu hanya untuk kursus pasca siswazah.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan tidak ada sebarang perbincangan pada peringkat kementerian atau Kabinet mengenai cadangan membuka universiti terbabit kepada pelajar bukan Bumiputera.
Zambry dilaporkan berkata, isu berkenaan sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.
Nnnn
