PUTRAJAYA 14 Mei – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci tanpa visa haji yang sah supaya pulang ke tanah air.
Menterinya Dr Mohd Naim Mokhtar berkata jemaah yang merasakan mereka terpedaya dengan janji untuk menunaikan haji perlu membuat aduan kepada Lembaga Tabung Haji (TH)
Mereka juga boleh mengadu kepada, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lebih lanjut.
Dalam kenyataannya, beliau bagaimanapun memberitahu setakat ini tiada laporan rasmi berkaitan perkara itu diterima oleh TH.
Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan ada rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah akibat terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.
Menurut Dr Mohd Naim, pihaknya melalui TH sentiasa memberi peringatan supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.
Beliau juga mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)
Nnmm
