RAFAH: Jumlah kematian rakyat Palestin mencecah lebih 35,000 orang setelah Israel kembali menyerang Gaza kononnya untuk menghapuskan lokasi persembunyian Hamas.
Dalam serangan terbaru semalam, beberapa kawasan di Gaza terlibat malahan Israel juga mengesahkan pesawatnya mengebom ‘lebih 150 sasaran pengganas’ sepanjang hari semalam.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.
Ia menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat pengeboman dan serangan Israel di Gaza kepada sekurang-kurangnya 35,034 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kembali menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan peningkatan segera bantuan kemanusiaan’ di Semenanjung Gaza yang terkepung.
Gencatan senjata hanya akan menjadi permulaan,” kata Guterres pada persidangan derma di Kuwait, yang mana negara-negara bersidang turut menjanjikan lebih AS$2 bilion (RM9.48b) untuk membantu wilayah Palestin yang musnah.
Ketika ini usaha pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) ke arah gencatan senjata dilihat terhenti dan pada kelmarin Presiden Joe Biden, berkata gencatan senjata boleh dicapai ‘esok’ sekiranya Hamas membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober yang mencetuskan konflik.
Bagaimanapun, semalam kumpulan pejuang itu membidas Biden, dengan berkata, kenyataan itu sebagai ‘kemunduran’ terhadap rundingan dan mengingatkan pemimpin itu mengenai tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang ‘bergegas membatalkan’ rundingan itu dengan melancarkan serangan ke atas Rafah.
