Israel tidak ada pelan lindungi 1.4 juta awam

WASHINGTON: Israel tidak ada ‘pelan yang boleh dipercayai’ untuk melindungi kira-kira 1.4 juta orang awam Palestin yang berlindung di Rafah, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.

Kenyataan itu sebagai mengulas keputusan AS menghentikan pembekalan 3,500 bom [membabitkan 2,000 paun (907.1 kilogram) dan 500 paun (226.7 kg)].

Beliau memberitahu CBS News bahawa penghantaran itu adalah satu-satunya pakej senjata AS yang disekat dan, sekiranya Israel ‘melancarkan operasi ketenteraan utama itu ke Rafah, terdapat sistem tertentu yang AS tidak akan menyokong dan membekalkan untuk operasi itu’.

“Israel perlu mempunyai rancangan yang jelas dan boleh dipercayai untuk melindungi orang awam, yang belum kita lihat,” katanya.

Sebahagian besar daripada 1.4 juta rakyat Palestin di Rafah sudah dipindahkan dari tempat lain akibat pertempuran dan pengeboman Israel turut memusnahkan kawasan pinggir laut.

Kata Bliken, Israel juga belum membangunkan rancangan pasca perang untuk keselamatan, tadbir urus dan pembinaan semula Gaza, namun AS sedang mengusahakan rancangan sedemikian bersama kerajaan Arab dan pihak lain.

Beliau juga memberi amaran serangan Israel akan mencetuskan pemberontakan apabila gagal membunuh semua pejuang Hamas di bandar selatan itu.

Katanya, Israel berada pada trajektori yang berpotensi menyebabkan pemberontakan ketika ramai pejuang Hamas bersenjata terlepas.

Menurut Blinken,  kumpulan pejuang itu sudah kembali ke kawasan utara Gaza yang didakwa sudah dibersihkan Israel, dan serangan ke atas Rafah ‘berisiko menyebabkan kemudaratan yang teruk kepada orang awam’ tetapi tidak menamatkan Hamas di situ.

Media NBC dan CBS News menyiarkan temu bual bersama Blinken yang mengulas keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghentikan penghantaran bom ke Israel kerana bimbang kematian orang awam yang besar di Rafah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment