KUALA KUBU BHARU 11 Mei – Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu apabila calonnya daripada DAP, Pang Sock Tao menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Sock Tao mengetepikan saingan calon Bersatu , Khairul Azhari Saut yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu memperoleh 14,000 undi dengan majoriti 3,869 setakat pukul 8.15 malam, sekali gus mempertahankan DUN yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pada tempoh sama, keputusan tidak rasmi menunjukkan Khairul Azhari memperoleh 10,131 undi, Ke Xin 188 undi dan Hafizah 152 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dalam pertembungan empat penjuru, PH memperoleh 14,862 undi dengan majoriti 4,119 undi.
Sementara itu, DAP melalui Facebooknya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Kuala Kubu Baharu yang telah menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
“Tahniah buat Saudari Pang Xiao Tao atas kemenangan ini. Kejayaan ini adalah hasil penat lelah serta kerjasama semua pihak termasuk daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti-parti lain yang membantu dan menyelaraskan kerja kempen sepanjang dua minggu ini.
Selamat maju jaya dalam khidmat, Saudari Pang!,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Kuala Kubu Bharu mengandungi 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.
Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri Melayu, Cina sekitar 30 peratus, kira-kira 6,000 atau 18 peratus adalah pengundi India, manakala bakinya masyarakat Orang Asli.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Daripada 39,362 pengundi biasa, mereka yang keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini dilaporkan seramai 24,145 orang atau 61.34 peratus.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui Facebook, mengucapkan tahniah kepada PH mewakili Kerajaan Perpaduan kerana memenangi PRK berkenaan dengan majoriti besar.
Nnnn
