UNGA undi pengiktirafan Palestin

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNGA) akan mengundi hari ini berhubung resolusi menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota penuh badan dunia itu.

Ketika ini, Palestin memegang status negara pemerhati tetap, status yang diberikan oleh UNGA pada 2012 dan undian yang melibatkan 193 negara anggota itu dijadualkan kira-kira pukul 10 pagi waktu New York (10 malam waktu Malaysia).

Pembantu Menteri Luar Palestin untuk PBB dan agensinya, Omar Awadallah, memaklumkan bahawa Palestin memenuhi syarat-syarat untuk penerimaan keahlian yang dinyatakan dalam Artikel 4 Piagam PBB.

Bagaimanapun resolusi itu perlu mendapatkan undi dua pertiga di UNGA untuk diluluskan.

Awadallah menjelaskan bahawa pengiktirafan UNGA terhadap Palestin sebagai negara anggota penuh antara lain membolehkan ia duduk bersama negara anggota lain mengikut abjad, bercakap mengenai sebarang agenda di PBB dan mengemukakan resolusi atas namanya.

Beliau juga mengesahkan hak Palestin untuk menjadi negara anggota penuh dan menentukan nasib sendiri, sambil menyatakan bahawa 144 negara mengiktiraf Palestin dan ia memenuhi semua kewajipan dan tanggungjawab dalam institusi PBB yang diperlukan untuk keanggotaan penuh.

Related posts

Leave a Comment