Mesyuarat terakhir Kabinet Lee Hsien Loong

SINGAPURA 10 Mei – Perdana Menteri Lee Hsien Loong mempengerusikan mesyuarat terakhir Kabinetnya semalam menjelang peralihan tampuk kepemimpinan negara itu yang dijadualkan pada 15 Mei ini.

Dalam catatan di Facebooknya semalam, Lee berkata, mulai minggu hadapan Lawrence Wong yang ketika ini Timbalannya dan Menteri Kewangan akan memimpin mesyuarat Kabinet.

“Kami mengadakan mesyuarat Kabinat setiap minggu selama 20 tahun, termasuk ketika pandemik, di mana kami bertemu secara online.

Mesyuarat sedemikian adalah platform penting untuk membincangkan isu-isu negara, dasar penting, dan isu yang menjejas kehidupan kita semua. Ia adalah satu penghormatan untuk memimpin pasukan Kabinet selama 20 tahun lalu,” kata Lee.

Katanya, Singapura akan berada di bawah kepimpinan yang baik bersama pasukan 4G, yang diketuai Lawrence Wong.

Lee berkata, Perdana Menteri bukan “bos kepada orang-orang bawahan” sebaliknya ‘primus inter pares’, iaitu individu utama dalam kalangan rakan sekerjanya, yang semuanya saling berbincang bersama-sama untuk mencari penyelesaian terbaik bagi Singapura.

“Bermula minggu hadapan, PM Lawrence Wong akan memimpin mesyuarat Kabinet, tetapi saya akan terus menyumbang sebagai Menteri Kanan.

Singapura akan berada di bawah kepemimpinan yang baik bersama pasukan 4G dan saya bersedia membantu pasukan baharu itu dalam usaha mereka demi kejayaan Singapura,” kata Lee

(Foto FB LHL)

Related posts

Leave a Comment