Terengganu tidak dipinggirkan – PM

KUALA NERUS 9 Mei –  Kerajaan Perpaduan tidak meminggirkan Terengganu hanya kerana negeri itu ditadbir oleh parti politik berbeza, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata komitmen itu dibuktikan dengan pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terabai di negeri terbabit.

“Tapi saya nak tegaskan di sini tolonglah menolak sesetengah tohmahan bahawa kita tidak berikan pertimbangan (bantuan) walaupun kerajaan negeri itu dipimpin oleh parti yang lain (pembangkang).

Betul ada sedikit perbezaan (ideologi) tetapi dalam soal program untuk rakyat dasar kita (dan) keputusan kita projek-projek untuk membela nasib rakyat kita tidak akan tangguh dan kita akan laksanakan untuk kepentingan rakyat.

Saya maklumkan kepada Menteri Besar Terengganu (yang) Kerajaan Persekutuan tidak pernah tinggal atau meminggirkan Kerajaan negeri demi kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri dinWisma Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Timbalan Perdana Menteri,, Fadilah Yusof,  menteri-menteri  dan, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Anwar berkata, perbelanjaan pembangunan hasil peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri mencecah RM7 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, antara projek pembangunan itu merangkumi tebatan banjir, bekalan air, keterjaminan makanan, keselamatan di pintu masuk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial.

“Kita juga baru luluskan tadi projek baik pulih hospital dan klinik baru di Besut,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya mengakui terdapat banyak persamaan hala tuju, dasar serta pendekatan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Katanya, sasaran kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk Terengganu, antara satu hala tuju yang sama seperti pentadbiran kerajaan negeri.

“Sasaran kerajaan Persekutuan terutama menoktah kemiskinan tegar, usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran berintegriti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat banyak persamaan dengan agenda kerajaan negeri.

“Jika disenaraikan satu per satu, sudah pasti kita dapati terlalu banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, hasil usaha bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kadar kemiskinan tegar dapat dikurangkan.

Difahamkan, kadar kemiskinan tegar di Terengganu berjaya dikurangkan sebanyak 3,268 keluarga dalam tempoh empat bulan sejak Januari lalu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri berpendirian tidak berbelah bagi dan sangat jelas serta penuh iltizam bahawa pintu rumah sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan baik antara kerajaan persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

“Kami sentiasa membuka pintu rumah yang menggambarkan keyakinan kami, bahawa hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, seharusnya sentiasa positif, bertambah baik.

“Seperti peribahasa Melayu, tak ada kusut yang tidak boleh selesaikan dan tiada kekeruhan yang tidak mampu dijernihkan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment