KUALA LUMPUR 9 Mei – Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang dijadualkan esok, Jumaat, 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim dibatalkan selepas Selangor FC memutuskan untuk tidak hadir ke perlawanan itu.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memberitahu, ia sekaligus menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).
“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” kata MFL.
Sebelum ini, skuad Gergasi Merah itu memohon supaya MFL menangguhkan perlawanan berkenaan atas alasan keselamatan susulan insiden simbah asid ke atas Faisal Halim serta ancaman yang melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.
MFL bagaimanapun menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor FC memutuskan untuk menarik diri.
Keganasan terhadap pemain bola sepak ketika ini menggusarkan banyak pihak dengan pemain Selangor, Faisal Halim sedang dirawat di hospital selepas menjadi mangsa simbah asid, Ahad lalu.
Pemain JDT, Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.
