JDT harap Selangor FC timbang semula keputusan

SEPANG – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT Alistair Edwards berkata pihaknya kecewa dengan keputusan Selangor FC meskipun Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor memberi jaminan mengenai keutamaan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong dengan kehadiran 1,500 anggota.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir

“Ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan susulan keputusan Selangor FC.

Alistair berkata, JDT sebelum ini pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan tetapi pasukannya masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Meksipun kejadian yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat tetapi untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment