LONDON: Syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia, tidak lama selepas mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.
Dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, antaranya, menyatakan vaksin Covid-19 buatannya ‘boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau ‘Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome’ iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.
Berikutan penarikan itu, vaksin itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik “kebenaran pemasaran”.
Permohonan untuk menarik balik vaksin itu dibuat pada 5 Mac dan berkuat kuasa pada 7 Mei dan permohonan serupa akan dibuat di United Kingdom dan negara lain yang telah meluluskan vaksin itu dikenali sebagai Vaxzevria, pada bulan depan.
Media bulan lalu melaporkan AstraZeneca buat kali pertama mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).
Gergasi farmaseutikal itu menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
Peguam berhujah bahawa vaksin Itu menghasilkan kesan sampingan yang memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil individu.
