Singapura tarik balik ais krim Perancis

SINGAPURA 6 Ogos – Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik dua lagi produk aiskrim Haagen-Dazs dari Perancis di pasaran berikutan dakwaan wujud ethylene oksida, iaitu racun perosak yang tidak dibenarkan dalam makanan.

Produk-produk yang terjejas adalah aiskrim Cookies and Cream Haagen Dazs dalam bekas 473ml dengan tarikh luput 27 Mei 2023 dan koleksi cawan mini berperisa Belgian Chocolate 100ml dengan tarikh luput 8 Jun 2023.

Langkah itu susulan Sistem Makluman Pantas Makanan untuk Makanan Suruhanjaya Eropah (RASFF) mengeluarkan pemberitahuan mengenai penarikan balik ais krim Coklat Belgium dan Kuki & Krim Häagen-Dazs dari Perancis kerana ethylene oksida.

“Walaupun tiada risiko segera bagi pengambilan makanan yang tercemar dengan paras rendah ethylene oksida, pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan isu kesihatan,” kata SFA dalam kenyataan semalam.

Menurut SFA, pendedahan kepada bahan ethylene oksida “harus dikurangkan sebanyak mungkin”.

Langkah menarik balik produk-produk terjejas itu sedang dijalankan dan SFA menasihatkan pengguna yang membeli produk-produk terjejas supaya tidak memakannya.

Agensi itu juga menasihatkan mereka yang sudah memakan produk terjejas itu dan mempunyai keprihatinan mengenai kesihatan mereka supaya mendapatkan nasihat perubatan.

Related posts

Leave a Comment