SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Raja Muda, Tengku Amir Shah, mengecam sekeras-kerasnya serangan membabitkan pemain pasukan Selangor FC, Faisal Halim, yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah semalam.
Justeru Sultan Sharafuddin selaku Penaung Selangor FC dan Tengku Amir Shah, sebagai Presiden Selangor FC menitahkan agar polis melakukan siasatan kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office semalam, baginda juga bertitah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.
“Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.
Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, baginda menzahirkan kekhuatiran jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.
Baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sedia kala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.
Semalam, pemain kebangsaan itu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara petang semalam menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.
Nnn
.
